Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

LAWATAN PUAN YANG TERUTAMA DR. VJOSA OSMANI-SADRIU PRESIDEN REPUBLIK KOSOVO DAN MR. PRINDON SADRIU FIRST GENTLEMAN SERTA ROMBONGAN KE MASJID OMAR ALI SAIFUDDIEN

05 May 2025

LAWATAN PUAN YANG TERUTAMA DR. VJOSA OSMANI-SADRIU PRESIDEN REPUBLIK KOSOVO DAN MR. PRINDON SADRIU FIRST GENTLEMAN SERTA ROMBONGAN KE MASJID OMAR ALI SAIFUDDIEN

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 7 Zulkaedah 1446 bersamaan 5 Mei 2025–Keunikan seni bina Masjid Omar Ali Saifuddien menjadikan masjid berkenaan sebagai mercu tanda ikonik negara dan antara daya tarikan utama kepada para pelancong yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.

Masjid yang terletak megah di tengah-tengah Bandar Seri Begawan ini mula dibina pada 1 Jamadiakhir 1372 Hijrah bersamaan 4 Februari 1954 Masihi, dan telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada 26 September 1958. Masjid ini  merupakan cetusan idea Al-Marhum sendiri sebagai simbol kepercayaan teguh rakyat terhadap agama Islam serta lambang identiti pemerintahan Melayu Islam Beraja (MIB) di negara ini.

Pada petang tadi, Masjid Omar Ali Saifuddien telah menerima kunjungan hormat daripada Puan Yang Terutama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu, Presiden Republik Kosovo dan suami, Mr. Prindon Sadriu, First Gentleman, serta rombongan. Puan Yang Terutama sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam selama empat hari, bermula 3 hingga 7 Mei 2025.

Ketibaan Puan Yang Terutama dan rombongan telah dialu-alukan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, bersama Yang Mulia Datin.

Turut hadir Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Menteri Pengiring dan Datin.

Hadir sama Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin.

Setibanya di masjid, Puan Yang Terutama serta suami berkesempatan menyaksikan klip video mengenai sejarah dan pembangunan Masjid Omar Ali Saifuddien, sebelum meneruskan lawatan ke sekitar kawasan masjid.

Acara turut diserikan dengan sesi menandatangani buku lawatan oleh Puan Yang Terutama, diikuti dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Lawatan rasmi ini diyakini akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Kosovo.


Foto: SkiPPA BPAAM