بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Selasa, 08 Zulkaedah 1446 bersamaan 06 Mei 2025–Bagi memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dalam kalangan Muallaf, khususnya dalam aspek akidah, ibadah dan akhlak, Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah-Daerah telah menganjurkan Skim Bimbingan Asas Muallaf Siri Ke-201 (Lelaki) dan Siri Ke-202 (Perempuan) secara serentak di keempat-empat daerah.
Program intensif selama 14 hari, bermula 29 April hingga 14 Mei 2025 (kecuali hari Ahad), ini diadakan dengan matlamat untuk membimbing Muallaf dalam mendalami asas-asas ajaran Islam secara teori dan praktikal.
Seramai 126 orang perserta telah mengikuti skim tersebut iaitu di Daerah Brunei dan Muara seramai 35 orang, Daerah Tutong 36 orang, Daerah Belait 41 orang dan Daerah Temburong 14 orang.
Di Daerah Brunei dan Muara lokasi Skim tersebut diadakan di Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah. Bagi Daerah Tutong pula bertempat di Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong bagi peserta perempuan dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain bagi peserta lelaki. Manakala di Daerah Belait, di Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait dan Daerah Temburong di Pejabat Unit Da'wah Daerah Temburong.
Skim ini memberi pendedahan kepada ilmu Fardhu 'Ain dan Fardhu Kifayah yang merangkumi modul-modul berikut: Pembelajaran Iqra' dan hafalan, Ilmu Tauhid, Fiqh Thaharah (Kebersihan), Fiqh Solat dan Fiqh As-Shiam (Puasa), Praktikal sembahyang berjemaah, Sejarah Islam, Makanan dalam Islam, Akhlak Islam serta amalan kebersihan diri dan Sesi perkongsian mengenai pemakanan halal dan haram, termasuk teknik penyembelihan ternakan mengikut syarak.
Skim ini turut menekankan pembentukan sahsiah unggul serta penguasaan ilmu asas agama yang mantap. Kaedah penyampaian yang bersifat interaktif dan fleksibel membolehkan peserta lebih mudah memahami isi kandungan pembelajaran dan berpeluang bertanya serta berdiskusi secara dua hala.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memelihara kebajikan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah juga menyediakan pelbagai program susulan termasuk Program Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I dan II, Kelas Bimbingan Mingguan di keempat-empat daerah, Program Lawatan Tarbiyah Muallaf dan Bimbingan secara dalam talian melalui platform digital.
Dengan pelaksanaan program ini, diharap para Muallaf akan lebih bersedia dan yakin dalam mengamalkan ajaran Islam dengan penuh kefahaman dan istiqamah.
Peserta Skim Bimbingan Asas Daerah Belait


Peserta Skim Bimbingan Asas Daerah Tutong


Peserta Skim Bimbingan Asas Daerah Temburong



Peserta Skim Bimbingan Asas Daerah Brunei Muara




Foto: PDI