بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Rabu, 09 Zulkaedah 1446 bersamaan 07 Mei 2025–Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) telah mengadakan Majlis Penutup Tarbiyah Ibadah Haji dan Doa Selamat bagi Bakal Jemaah Haji Muallaf Tahun 1446H/2025M. Majlis penuh keberkatan ini berlangsung di Bilik Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Seramai 20 orang peserta, terdiri daripada sembilan (9) lelaki dan sebelas (11) perempuan, yang merupakan Penerima Kurnia Tambang Fardhu Haji daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah menamatkan program Tarbiyah Ibadah Haji bagi Tahun 1446H/2025M. Program ini telah berlangsung selama dua hari, bermula 6 Mei hingga 7 Mei 2025.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan nasihat daripada Tetamu Kehormat. Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil tamat kursus dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada bakal jemaah mengenai situasi sebenar di Tanah Suci, membimbing peserta secara teori dan praktikal mengenai ibadah Haji dan Umrah serta meningkatkan kefahaman dan penghayatan fardhu 'ain agar ibadah dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Diharap agar program ini dapat membimbing para bakal jemaah Haji Muallaf untuk menghalusi manasik atau ibadat Haji dan Umrah seterusnya dapat melaksanakan dengan baik apabila tiba di Tanah Suci Makkah nanti dan mendapat Haji yang mabrur.