Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA SELAMAT, PENYAMPAIAN DERMA BAGI BAKAL JEMAAH HAJI WARGA KHEU DAN BAYARAN PAKEJ HAJI KEPADA SYARIKAT DARUSSALAM SERVICES SDN. BHD. SERTA AGIHAN WANG SAKU KEPADA SAUDARA-SAUDARA BAHARU (MUALLAF) YANG AKAN MENUNAIKAN FARDHU HAJI TAHUN 1446H/2025M

08 May 2025

MAJLIS DOA SELAMAT, PENYAMPAIAN DERMA BAGI BAKAL JEMAAH HAJI WARGA KHEU DAN BAYARAN PAKEJ HAJI KEPADA SYARIKAT DARUSSALAM SERVICES SDN. BHD. SERTA AGIHAN WANG SAKU KEPADA SAUDARA-SAUDARA BAHARU (MUALLAF) YANG AKAN MENUNAIKAN FARDHU HAJI TAHUN 1446H/2025M

Berakas, Khamis, 10 Zulkaedah 1446 bersamaan 08 Mei 2025–Sebagai tanda kesyukuran dan bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar para bakal jemaah Haji sentiasa diberikan perlindungan, keselamatan, kemudahan dalam segala urusan serta memperoleh Haji yang mabrur, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi 86 orang bakal jemaah Haji.
Daripada jumlah tersebut, 66 orang merupakan pegawai dan kakitangan di bawah KHEU, manakala 20 orang lagi adalah saudara baharu (Muallaf) terpilih yang akan menunaikan Fardu Haji ke Tanah Suci tahun ini.
Majlis tersebut berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap KHEU; Yang Mulia Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan); dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) ; ketua-ketua jabatan, para pegawai serta bakal jemaah Haji yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada para bakal jemaah Haji, disempurnakan oleh Tetamu Kehormat.
Dalam majlis yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan Tambang Haji kepada 20 orang saudara baharu (Muallaf) yang terpilih dan layak menunaikan Fardu Haji bagi tahun ini.
Masing-masing dikurniakan tambang sebanyak BND4,500.00, bersamaan kadar yang diberikan kepada pegawai kerajaan.
Sehubungan itu, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah meluluskan pengagihan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Muallaf berjumlah BND342,000.00, merangkumi BND302,000.00 untuk bayaran Pakej Haji (Pakej Zamrud) melalui Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. bagi 20 orang saudara baharu dan BND40,000.00 untuk wang saku, dengan setiap peserta menerima BND2,000.00.
Penyerahan rasmi pembayaran pakej Haji dan pengagihan wang saku turut disempurnakan oleh Tetamu Kehormat dalam majlis tersebut.
Pengurniaan Tambang Haji ini mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap rakyat baginda, khususnya dalam mempermudahkan pelaksanaan rukun Islam kelima di negara ini.
Di samping itu, pengagihan zakat melalui Asnaf Muallaf ini diharap dapat mengukuhkan keimanan, meningkatkan penghayatan beragama serta menanamkan rasa syukur dalam kalangan saudara baharu atas nikmat menjadi tetamu Allah pada musim Haji kali ini.


Foto: SkiPPA BPAAM