بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Jumaat,11 Zulkaedah 1446 bersamaan 9 Mei 2025-Bagi meraikan bakal jemaah Haji yang akan menunaikan ibadat Haji pada musim Haji tahun 1446H / 2025M dan juga memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar para jemaah sentiasa berada dalam lindungan dan keselamatan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan Manasik Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji mengadakan Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal Jemaah Haji Tahun 1446H / 2025M pada petang tadi bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Hadir selaku Tetamu Tehormat pada majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, dalam ucapannya menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan sentiasa komited dan terus bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi dalam mematuhi semua ketetapan dan kehendak yang telah ditetapkan khususnya dalam pengurusan Haji.
Seterusnya, Yang Berhormat menyarankan akan kepentingan bagi semua pihak untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi terutamanya dalam menunaikan ibadat Haji hendaklah menggunakan Visa Haji yang sah dan yang berautoriti mengeluarkan Visa Haji di Negara ini adalah Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Menteri Hal Ehwal Ugama juga mengingatkan bahawa pematuhan peraturan-peraturan berkenaan adalah sangat penting bagi menjaga imej Negara agar tidak tercemar di samping menjaga reputasi pengurusan jemaah Haji Negara yang memang diketahui patuh atas segala peraturan yang ditetapkan serta memastikan pengurusan Haji di masa akan datang tidak terjejas.
Terdahulu Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Yang Mulia Hani Yahya Maghrabi, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan isteri; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dan isteri; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) dan isteri; para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pengarah-pengarah urusan dan wakil-wakil syarikat pengendali perkhidmatan Haji bagi musim Haji tahun 1446H / 2025M.
Bakal jemaah Haji Negara Brunei Darussalam pada musim Haji tahun 1446H / 2025M dijadualkan bertolak ke Tanah Suci dalam 4 penerbangan iaitu bermula pada 17, 18, 19 dan 20 Zulkaedah 1446 bersamaan 15, 16, 17 dan 18 Mei 2025.










Foto: SkiPPA BPAAM