Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-182

10 May 2025

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-182

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 13 Zulkaedah 1446 bersamaan 10 Mei 2025–Dalam kehidupan berumahtangga perlu ada sikap keterbukaan dalam berkomunikasi antara pasangan suami dan isteri agar salah seorang daripadanya menjadi pendengar yang memahami.  Dalam kehidupan berumahtangga juga, setiap permasalahan perlu diselesaikan dengan baik, bercakap antara kedua belah pihak untuk memperjelaskan masalah, dan pentingnya meminta pertolongan dan berserah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala."

Demikianlah antara perkara yang ditekankan melalui Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Pegawai Perkembangan Ugama, Ketua Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah bertepatan dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bertemakan: 'Keluargaku, Harapanku' yang menginspirasikan pembentukan keluarga bahagia, sakinah, mawaddah wa rahmah. 

Acara Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-182 pada malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam, Pengerusi Badan Sukarelawan Belia Da'ie, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah.

Turut menyemarakkan acara Munajat kali ini ialah ahli-ahli Badan Sukarelawan Belia Da'ie dan Belia Muallaf Syahadah; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait serta dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara. Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga serta individu yang turut hadir secara maya dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi, Penolong Ketua Media Belia Muallaf Syahadah dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Mu'iz bin Haji Jahair, Belia di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah.

Sejurus selesai Tazkirah, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Rafiuddin bin Pengiran Haji Badaruddin, Urus Setia Program Keugamaan Belia, dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah. 

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nazhiim Mustaqim bin Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.