Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

11 May 2025

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Ahad, 13 Zulkaedah 1446 bersamaan 11 Mei 2025–Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diadakan awal pagi tadi bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.  Program diisikan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah dan bacaan wirid serta diserikan dengan Tazkirah bertajuk "Perjalanan yang Dirindui (Haji)"  disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas selaku Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Tazkirah antara lain menyebutkan bahawa “Satu perjalanan yang amat dirindui oleh setiap hati yang berimam iaitu perjalanan menunaikan Haji.  Rindu pada suasana Masjidil Haram, rindu untuk berdiri di depan Kaabah, rindu untuk sujud di bumi barakah, rindu menitis air mata di Padang Arafah.  Namun bukan semua kita diberi peluang, bukan semua sudah dijemput menjadi Tetamu Allah kerana Haji adalah panggilan Allah. Bukan semua yang mampu akan pergi, dan bukan semua yang pergi kerana dia kaya. Ramai yang pergi Haji setelah bertahun-tahun menabung dengan penuh sabar. Tapi ada juga yang mampu, tapi masih belum dijemput. Maka ketahuilah, yang menjemput itu adalah Allah sendiri."

Beliau menambah “oleh itu, bagi mereka yang belum berpeluang untuk menunaikan ibadah Haji, maka jangan dipadam rasa rindu itu dan menyeru orang ramai untuk terus berdoa dan berusaha agar segera dijemput menjadi Tetamu Allah".

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama hadir bagi memakmurkan masjid secara istiqamah (berterusan) dalam menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah di awal waktu kerana sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara persendirian. 

Program tersebut juga memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai meraih keberkatan dengan hadir ke masjid untuk menunaikan tuntutan sembahyang fardhu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang, sebelum memulakan langkah dengan keceriaan seharian.


Foto: JHEM