بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Ahad, 20 Zulkaedah 1446 bersamaan 18 Mei 2025–Pengimarahan masjid bukan suatu tugas yang mudah dan tanggungjawab tersebut tidak terhad kepada pegawai-pegawai masjid sahaja, malah ianya juga merupakan tanggungjawab bersama para jemaah masjid termasuk ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid. Justeru itu, ahli jawatankuasa takmir masjid dilantik bagi membantu pegawai-pegawai masjid dalam sama-sama memakmurkan dan mengimarahkan masjid dengan pengendalian pelbagai aktiviti, majlis dan seumpamanya bagi meraih keberkatan, kerahmatan serta keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Sehubungan dengan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Bolkiah 'A' mengadakan Majlis Penghargaan Ahli Jawatankuasa sesi 2022 hingga 2024 dan Ahli Belia Imtiyaz sesi 2023 hingga 2025 dan diselajurkan dengan Majlis Penyerahan Surat Lantikan bagi Ahli Jawatankuasa Takmir baharu dan Ahli Belia Imitiyaz bagi sesi 2025 hingga 2027. Majlis diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Bolkiah 'A' pada pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan menyerahkan surat lantikan ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid.
Seramai 45 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa baharu dan seramai 12 belia dilantik bagi sesi 2025 hingga 2027.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad bin Rosdin, Bilal Tingkat II Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Diikuti dengan ucapan khas daripada Tetamu Kehormat Majlis dan juga ucapan dari Yang Mulia Awang Mohammad Faizal bin Awang Lalim, Ketua Belia Imtiyaz. Diteruskan dengan penyerahan sijil penghargaan Ahli Jawatankuasa Takmir sesi 2022 hingga 2024 dan Ahli Belia Imtiyaz sesi 2023 hingga 2025 serta penyerahan surat lantikan Ahli Jawatankuasa dan Belia Imtiyaz baharu bagi sesi 2025 hingga 2027.
Kemudiannya penyampaian cenderahati dan diakhiri bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang 'Abdul Rauf bin Haji Ismail, Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.







Foto: JHEM