Gadong, Rabu, 30 Zulkaedah 1446 1446 bersamaan 28 Mei 2025–Ibadah korban merupakan salah satu syiar yang sangat besar ganjarannya bagi umat Islam yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidil Adha untuk mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam. Ibadah tersebut bukan sahaja menunjukkan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala malah mendidik jiwa agar sentiasa bersedia berkorban demi agama, bangsa dan negara.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Gadong mengungkayah Majlis Forum mengenai Kelebihan Ibadah Korban bagi ahli jawatankuasa takmir masjid, muslimah masjid dan jemaah masjid Daerah Brunei dan Muara bertempat di masjid berkenaan pada pagi tadi.
Antara lain objektif Majlis Forum diadakan adalah untuk memberi pemahaman mendalam tentang konsep dan hukum ibadah korban, menjelaskan kelebihan dan ganjaran melakukan ibadah korban di samping menyuburkan nilai pengorbanan dalam jiwa umat Islam.
Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Yang Mulia Awang Haji Fansuri @ Mansur bin Mohamad Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid; dan Yang Mulia Awang Haji Sammali bin Haji Adam, Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan. Manakala Yang Mulia Awang Mohamad Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong selaku moderator.
Selain untuk mendedahkan peserta-peserta forum akan pengorbanan besar Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dalam melakukan ibadah korban, forum seumpamanya juga dihasrat akan dapat meningkatkan kesedaran untuk menyertai ibadah korban di kalangan masyarakat pada setiap tahun dan menggalakkan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian serta memupuk semangat kerjasama dan bergotong royong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Yang Mulia Awang Puspawira bin Haji Md Noor, Ketua Kampung Kampung Rimba 1 dan Pemangku Penghulu Gadong 'A'; Yang Mulia Awang Ismail bin Haji Suhaili, Pemangku Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampung Rimba 2; Yang Mulia Awang Abd Wahab bin Haji Timbang @ Rosli, Pemangku Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampung Rimba 1; dan Yang Mulia Awang Abd Manap bin haji Amit, Pemangku Ketua Kampung Kampung Rimba 2.


Foto: JHEM