Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BRUNEI SERTAI GRAND HAJJ SYMPOSIUM 2025 DI ARAB SAUDI

01 June 2025

BRUNEI SERTAI GRAND HAJJ SYMPOSIUM 2025 DI ARAB SAUDI

Jeddah, Arab Saudi – Negara Brunei Darussalam telah menghantar delegasi yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, ke Grand Hajj Symposium Ke-49 di The Ritz-Carlton, Jeddah pada 1 Jun 2025.

Simposium tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ini dihadiri oleh seramai 500 orang peserta dari seluruh dunia, termasuk menteri-menteri agama dan pembesar-pembesar agama dari 59 buah negara. Simposium pada tahun ini mengangkat tema Kemampuan Dalam Perlaksanaan Ibadat Haji dan Pembangunan Kontemporari. Tema ini mengetengahkan usaha Arab Saudi dalam meningkatkan infrastruktur termasuk penyediaan khemah perlindungan untuk jemaah, mengintegrasikan teknologi seperti kecerdasan buatan dan sistem digital bagi memudahkan pengurusan jemaah, serta mengukuhkan peraturan keselamatan bagi mengelakkan insiden seperti kes kematian akibat cuaca panas pada musim Haji sebelumnya.

Dalam ucaptamanya, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Yang Berhormat Dr. Taufiq bin Fawzan Al-Rabiah menekankan tiga langkah kritikal untuk jemaah. Jemaah diwajibkan berada di khemah masing-masing dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari kemuncak Haji. Mereka juga dilarang berjalan kaki antara Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebaliknya perlu menggunakan pengangkutan berlesen. Selain itu, jemaah dinasihatkan mengelakkan kawasan sesak seperti Masjid Namirah dan Jabal Rahmah.

Simposium tersebut turut menampilkan sesi strategik yang membincangkan cara memudahkan ibadah Haji melalui perkhidmatan terbaik serta bengkel khusus yang memberi fokus kepada persiapan kesihatan jemaah dan peranan media dalam penyebaran maklumat tepat.

Delegasi Brunei Darussalam turut dianggotai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Yang Mulia Awang Haji Harun bin Haji Junid serta pegawai-pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Perubatan). Kehadiran delegasi Negara Brunei Darussalam diharap dapat membantu meningkatkan persiapan jemaah Haji negara bagi musim 1446 Hijrah selaras dengan panduan terkini dari Arab Saudi.​

 

​Foto: Pejabat TM