Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA MEMPERINGATI PERTUKARAN NAMA SEKOLAH KEPADA SEKOLAH ARAB SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

02 June 2025

MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA MEMPERINGATI PERTUKARAN NAMA SEKOLAH KEPADA SEKOLAH ARAB SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Rimba, Isnin, 05 Zulhijjah 1446 bersamaan 02 Jun 2025–Pembinaan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan antara projek signifikan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan menelan belanja lebih BND48 juta ringgit. Sekolah tersebut mula digunakan pada 02 Januari 2019 dan digunakan sepenuhnya bermula tahun 2020.

Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sangat mendalam terhadap perkembangan pendidikan di persekolahan Arab dicerminkan melalui keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melawat sekolah berkenaan sebanyak 2 kali iaitu pada 29 Januari 2019 dan 01 Julai 2023, di samping mengurniakan titah perkenan bagi bangunan Sekolah Arab Rimba diberikan nama sebagai Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 01 Jun 2021 yang lalu.

Sehubungan dengan itu, bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas penubuhan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak tahun 2019 lalu, Majlis Kesyukuran Sempena Memperingati Pertukaran Nama Sekolah kepada Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah diadakan di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan pada pagi tadi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah.  Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Seterusnya menyaksikan tayangan video sejarah sekolah berkenaan.  Manakala Doa Kesyukuran dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hisyamuddin bin Haji Mahadini.  Disusuli dengan perasmian lagu rasmi sekolah yang baharu.  Tetamu kehormat juga melawat ke petak-petak pameran oleh Kelab Kokurikulum dan Persatuan sekolah berkenaan sebelum turut serta dalam acara penanaman pokok.​