Mentiri, Selasa, 06 Zulhijjah 1446 bersamaan 03 Jun 2025–Dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang berkemahiran dalam bidang pengacaraan dan penyampaian, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri mengungkayahkan Bengkel Juruacara / Penyampai bagi Belia dan Beliawanis Masjid Senegara.
Seramai 13 orang menyertai bengkel tersebut yang dikendalikan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Tujuan bengkel adalah untuk memberi pendedahan kepada Belia dan Beliawanis Masjid tentang protokol sesuatu majlis serta teknik pengendalian yang berkesan. Hal ini penting untuk melahirkan juruacara yang berketerampilan dan berkeyakinan untuk mengendalikan pelaksanaan sesuatu majlis dengan sempurna.
Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Bengkel mengundang Yang Mulia Dayang Sarina binti Yahaya selaku pemudahcara, seorang yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang penyiaran Radio dan Televisyen Brunei.
Sepanjang bengkel ini, para peserta mempelajari konsep dan pengacaraan secara formal dan tidak formal, menyusun ayat dan skrip, mengenal gaya bahasa, intonasi dan penampilan yang sesuai bagi setiap majlis.
Dengan bengkel yang diungkayahkan ini adalah dihasrat dapat memberi manfaat yang besar kepada para Belia dan Beliawanis Negara dalam menambah pengetahuan dan kemahiran komunikasi khususnya pengacaraan majlis serta meningkatkan keyakinan diri para peserta menjadi pengacara di depan khalayak ramai.



Foto: JHEM