Junjongan, Khamis, 08 Zulhijjah 1446 bersamaan 05 Jun 2025–Ke arah mendukung hasrat kerajaan bagi melahirkan generasi celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertaqwa, Sekolah Ugama Junjongan dan Sekolah Ugama Bebuloh petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 24 orang murid Darjah VI yang terdiri daripada 15 murid lelaki dan 09 murid perempuan yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, yang mana 19 orang murid dari Sekolah Ugama Junjongan manakala 05 orang murid lagi dari Sekolah Ugama Bebuloh. Acara diadakan di Dewan Ar-Rahman, Sekolah Rendah Junjongan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai. Diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam. Diteruskan dengan bacaan Takhtim. Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Asyraaf Aniq Rahimi bin Haji Abdul Rahim. Acara diserikan lagi dengan persembahan Dikir Asyraqal.
Majlis menyaksikan penyampaian sijil kepada para peserta Khatam disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Shamsul Nizam bin Pengiran Haji Shahbudin, Tenaga Pengajar.
Majlis-majlis Khatam Al-Quran terus diadakan di persekolahan ugama di negara ini adalah juga dengan tujuan agar murid-murid menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan hidup berugama di samping sebagai usaha pihak Jabatan Pengajian Islam dalam sama-sama mengukuhkan syiar Islam di negara ini.