Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA  DUA SETIAUSAHA AGUNG INSTITUSI ISLAM ANTARABANGSA

05 June 2025

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA DUA SETIAUSAHA AGUNG INSTITUSI ISLAM ANTARABANGSA

Berakas, Khamis, 08 Zulhijjah 1446 bersamaan 05 Jun 2025Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama pagi tadi menerima kunjungan hormat daripada dua tokoh ilmuwan Islam antarabangsa, Profesor Dr. Mohammad Abdel Daim Ali Al-Jundi, Setiausaha Agung Islamic Research Institute, Al-Azhar Al-Sharif, Republik Arab Mesir, dan Profesor Emeritus Dato' Dr. Koutoub Moustapha Sano, Setiausaha Agung The International Islamic Fiqh Academy, Jeddah.

Kunjungan hormat ini diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

Kunjungan hormat bertujuan untuk mengukuhkan hubungan di samping berkongsi pengetahuan, pandangan serta pengalaman dalam bidang perkhidmatan ugama khususnya berkaitan kebajikan dan pembangunan ummah serta pendidikan Islam secara menyeluruh.

Hadir sama di majlis kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim,  Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Profesor Dr. Mohammad Abdel Daim Ali Al-Jundi dan Profesor Emeritus Dato' Dr. Koutoub Moustapha Sano berada di Negara Brunei Darussalam atas jemputan ke Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi'i bagi membentangkan Kertas Kerja Ucaptama bersempena 60 Tahun Penubuhan Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam.

 

​Foto: BPAAM