Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS TAKBIR SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA BAGI TAHUN 1446H / 2025M

06 June 2025

MAJLIS TAKBIR SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA BAGI TAHUN 1446H / 2025M

Kiarong, Jumaat, 10 Zulhijjah 1446 bersamaan 06 Jun 2025–Sunat melaungkan takbir dengan suara yang Jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid atau tempat awam pada malam Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha selepas terbenamnya matahari hingga imam mengangkat Takbiratul Ihram sembahyang sunat Hari Raya. Takbir ini dinamakan Takbir Mursal dan Takbir Mutlaq iaitu takbir yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan pada bila-bila sahaja. Sementara Takbir Muqayyad ialah takbir yang terikat dan dilaungkan sebaik sahaja selesai sembahyang fardhu, sunat, tunai atau qada. Takbir Muqayyad ini khusus bagi Hari Raya Aidil Adha dan bagi orang yang tidak mengerjakan ibadah haji.

Acara melaungkan takbir bagi kedua-dua hari raya tersebut di Negara Brunei Darussalam bukanlah suatu yang baharu. Ianya telahpun dipraktikkan di Negara Brunei Darussalam sejak berabad lama dahulu dan merupakan satu syi'ar dalam usaha melahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala di samping memberikan kesedaran kepada umat Islam untuk mengamalkan suruhan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menjauhi larangan-Nya.

Sehubungan dengan itu, malam tadi berlangsung Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidil Adha bagi Tahun 1446 Hijrah di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh Negara dengan tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Hadir sama bagi menyemarakkan Majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pengarah-pengarah, para pegawai kanan dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal  Ugama dan penduduk sekitarnya.

Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidil Adha dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Majlis diserikan dengan Tadabbur yang bertajuk “Ibrah Disebalik Melontar" yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapha, Penceramah dari Pusat Da'wah Islamiah.

Laungan Takbir dipimpin oleh para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Pegawai Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong; Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Anggota Polis Diraja Brunei; Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat; Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Kumpulan Belia Masjid daripada Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong, Masjid Kampong Belimbing Subok dan Masjid An-Naim, Kampong Panchor Mengkubau; serta Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).

Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidil Adha bertujuan untuk menghidupkan malam Hari Raya Aidil Adha yang diadakan pada 10 Zulhijjah 1446 Hijrah. Ianya juga bagi menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan masyarakat yang bertaqwa di samping mengajak masyarakat dalam menghayati makna kandungan takbir raya.

Majlis seumpama ini juga berperanan memupuk semangat hidup berjemaah, mengeratkan silaturahim serta mendekatkan masyarakat dengan masjid, sekali gus menyemai rasa cinta terhadap rumah Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang menjadi harapan kepada agama, bangsa dan negara.


 

​Foto: PDI dan JHEM