Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA  PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH BERANGKAT MENUNAIKAN SEMBAHYANG SUNAT HARI RAYA AIDIL ADHA BAGI TAHUN 1446H/2025M

07 June 2025

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH BERANGKAT MENUNAIKAN SEMBAHYANG SUNAT HARI RAYA AIDIL ADHA BAGI TAHUN 1446H/2025M

Kiarong, Sabtu, 10 Zulhijjah 1446 bersamaan 07 Jun 2025–Suasana penuh syukur dan keinsafan menyelubungi bumi Darussalam apabila pujian takbir, tasbih dan tahmid kembali bergema, menandakan tibanya Hari Raya Aidil Adha 1446 Hijrah.  Laungan tersebut menjadi simbol rasa kesyukuran umat Islam ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas limpahan rahmat dan nikmat-Nya.

Dalam sama-sama mensyukuri nikmat yang kita raikan ini, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan berangkat menyertai bersama para jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Adha 1446 Hijrah.

Berangkat sama paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara;  Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama;  Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II;  Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan;  dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pada pagi tersebut, seruan Azan untuk menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Adha dilaungkan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.  Diikuti dengan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Adha berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie.  Manakala, Khutbah Sunat Hari Raya Aidil Adha dibacakan oleh Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Adha diadakan  secara serentak di masjid-masjid utama, surau dan balai ibadat di seluruh negara bermula pada pukul 7.30 pagi dengan kehadiran para jemaah yang turut sama menyemarakkan hari kebesaran Islam ini.

Hari Raya Aidil Adha bukan sekadar sambutan bahkan mengangkat erti ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan, sebagaimana dicontohkan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Ismail Alaihissalam, menjadi inspirasi dalam kehidupan seharian umat Islam.

 

​​Foto: SkiPPA BPAAM