Sungai Kebun, Rabu, 14 Zulhijjah 1446 bersamaan 11 Jun 2025–Bagi menyahut hasrat kerajaan untuk memiliki generasi yang celik Al-Quran, beriman serta bertaqwa dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian, Jabatan Pengajian Islam melalui sekolah-sekolah ugama di Negara Brunei Darussalam sentiasa mendorong murid-murid di sekolah ugama menyempurnakan pembacaan 30 juzuk Al-Quran.
Bagi meraikan dan menghargai murid-muid yang telah berjaya menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran, Sekolah Ugama Kampung Bolkiah dan Sekolah Ugama Nakhoda Abdul Rashiid, Kampung Menunggol petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran untuk 22 orang murid Darjah VI terdiri daripada 12 murid lelaki dan 10 murid perempuan, yang mana 17 orang murid adalah dari Sekolah Ugama Kampung Bolkiah, manakala 5 orang lagi dari Sekolah Ugama Nakhoda Abdul Rashiid, Kampung Menunggol. Acara diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah A.
Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam. Diikuti dengan bacaan Takhtim dan kemudiannya Doa Khatam oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amirussin bin Ajak. Majlis diserikan lagi dengan persembahan Dikir Syarafil Anam. Acara kemuncak ialah penyampaian sijil kepada para peserta Khatam oleh Tetamu Khas Majlis.
Bagi memberkati majlis Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Yusri bin Kadir, Tenaga Pengajar Sekolah berkenaan.