Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS IBADAH KORBAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 1446H/2025M

10 June 2025

MAJLIS IBADAH KORBAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 1446H/2025M

Tutong, Selasa, 13 Zulhijjah 1446 bersamaan 10 Jun 2025-Majlis Ibadah Korban merupakan wadah penting dalam menghayati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan mengambil ikhtibar terhadap ketaatan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dalam menjunjung perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Bagi memperkukuh nilai pengorbanan dan semangat ukhuwah serta memperkembang syiar Islam terutama masyarakat Islam di luar bandar di samping meluahkan tanda kesyukuran atas limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada hambaNya, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengendalikan Majlis Ibadah Korban Kementerian Hal Ehwal Ugama Tahun 1446H/2025M.  Majlis diadakan di Dewan Serbaguna Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong (PESATU), Kampung Tanjong Panjang, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong.

Pada majlis tersebut, sebanyak dua ekor lembu dan seekor kerbau dikorbankan.

Hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan isteri, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan isteri, Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee;  Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri;  Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Sengkarai;  Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara Selaku Penghulu Mukim Ukong;  Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri.

Hadir sama, Yang Mulia Awang Mohd Azaman Shah bin Haji Sahari, Penghulu Mukim Tanjong Maya;  Yang Mulia Awang Nur Azmil bin Haji Ismail, Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau; dan  Yang Mulia Awang Haji Masri bin Haji Abdullah, Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar.  Juga hadir, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Muiz Izzuddin bin Pauji, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Lubok Pulau, Daerah Tutong.

Yang Berhormat Menteri dan jemputan khas menyertai aktiviti bergotong-royong melapah, daging ibadah korban bersama ahli-ahli PESATU serta masyarakat setempat.

Sebanyak 81 orang Asnaf Fakir Miskin dan 157 orang Asnaf Muallaf menerima agihan daging korban pada tahun ini.

Daging Korban Sunat dibahagikan kepada tiga bahagian:  satu pertiga (1/3) daripada daging korban sunat disedekahkan kepada Fakir Miskin; satu pertiga (1/3) untuk umat Islam; dan satu pertiga (1/3) untuk orang yang berkorban.

Majlis Ibadah Korban ini merupakan kesempatan kepada warga Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menyantuni Asnaf Fakir Miskin dan Muallaf di Daerah Tutong yang secara tidak langsung mengeratkan lagi silaturahim dengan para penerima daging ibadah korban, penduduk-penduduk di Mukim Tanjong Maya dan sekitarnya serta ahli-ahli PESATU.

Majlis diakhiri dengan Doa Selamat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Muiz Izzuddin bin Pauji, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Lubok Pulau, Daerah Tutong.

Majlis Ibadah Korban Kementerian Hal Ehwal Ugama tahun ini dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS; Bahagian Dasar dan Strategik; dan Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.​