Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI  SEKOLAH UGAMA TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI, MUARA, TAHUN 1446H / 2025M

11 June 2025

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI, MUARA, TAHUN 1446H / 2025M

Muara, Rabu, 14 Zulhijjah 1446 bersamaan 11 Jun 2025–Majlis Khatam Al-Quran adalah bertujuan sebagai tanda syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas sempurnanya pembacaan 30 juzuk Al-Quran serta meraikan murid-murid yang telah berjaya mengkhatam bacaan masing-masing.  Ianya juga menjadi wadah untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran yang mana para pembacanya memperolehi pahala dan rahmat berlipat ganda serta keberkatan dari sisi  Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran untuk 15 orang murid Darjah VI terdiri daripada 10 murid lelaki dan 5 murid perempuan. Acara diadakan di dewan sekolah berkenaan.

Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Awang Azman bin Haji Jaya, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  

Kemudiannya, bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan disusuli dengan bacaan Takhtim.  Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Arsyaad Zulhilmi bin Haji Zulkifli, peserta Khatam.  Seterusnya, persembahan Dikir Asyraqal dan diikuti penyampaian Sijil Khatam oleh Tetamu Khas Majlis.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Rasmali bin Pengiran Haji Shahbudin.

Dengan sempurnanya mengkhatam bacaan Al-Quran, diharap dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan murid-murid berkenaan,  dan generasi muda ini akan terbiasa membaca dan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran yang seterusnya diterapkan dalam kehidupan seharian mereka.​