Negara Brunei Darussalam, Rabu, 14 Zulhijjah 1446 bersamaan 11 Jun 2025–Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya telah dinobatkan sebagai penerima Silver Award, Anugerah Tertinggi Labaytum dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Majlis Penutup Musim Haji 1446H/2025M di Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Makkah Al-Mukarramah pada hari Ahad, 12 Zulhijjah 1446H bersamaan 8 Jun 2025M.
Anugerah Labaytum yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ada empat peringkat iaitu Diamond, Gold, Silver dan Bronze. Anugerah-anugerah ini adalah sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan pengurusan haji dalam pelbagai aspek dan menyeluruh antaranya perancangan pengurusan haji, penjagaan kesihatan jemaah haji, bimbingan haji, dapat menyempurnakan urusan-urusan dan memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan seperti pemilihan tempat di Mashaer (Arafah dan Mina), kontrak-kontrak penginapan, pengangkutan, visa haji mengikut garis masa-garis masa yang telah disusun awal oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan juga kepatuhan terhadap semua peraturan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa Arab Saudi.
Hadir bagi menerima anugerah tersebut Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi.
Pada majlis tersebut juga, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menyerahkan dokumen awal pengurusan haji bagi musim haji tahun 1447H / 2026M yang antara lain menyenaraikan urusan-urusan yang perlu dilaksanakan pada musim haji tahun 1447H / 2026M nanti mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Foto: JUH