Berakas, Rabu, 14 Zulhijjah 1446 bersamaan 11 Jun 2025–Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Michael Hoy, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam.
Kunjungan hormat diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara ke dua buah negara serta bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman dalam perkhidmatan ugama khususnya berkaitan dengan Kebajikan dan Pembangunan Ummah.
Tuan Yang Terutama Michael Hoy telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 21 April 2025.
Mengiringi Tuan Yang Terutama Michael Hoy ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, David Vander Zwaag.
Ikut serta dalam dalam rombongan berkenaan, Dr. Susan Carland, Ahli Sosiologi Muslim Australia bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pandangan, memanfaatkan pengetahuan luas mengenai peranan Islam dalam Australia moden serta merangsang idea-idea baharu bagi kerjasama dua hala pada masa hadapan. Dr. Susan Carland berada di Negara Brunei Darussalam dalam rangka lawatan selama tiga (3) hari mulai pada 11 hingga 13 Jun 2025.
Majlis kunjungan hormat petang tadi juga dihadiri oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.








Foto: BPAAM