Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 03 Muharram 1447 bersamaan 28 Jun 2025–“Hijrah adalah perubahan jiwa dan gaya hidup ke arah jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Wanita yang berhijrah dengan ikhlas dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Dan sebagaimana yang diketahui, hijrah adalah langkah permulaan. Istiqamah pula adalah kekuatan untuk terus kekal pada jalan tersebut. Kedua-duanya membawa kepada redha Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan membentuk wanita mukminah yang menjadi suluh cahaya kepada diri, keluarga, dan ummah. Selagi hidup diberi, pintu hijrah tetap terbuka."
Begitulah antara intipati Tazkirah bertajuk Hijrah dan Istaqamah disampaikan oleh Yang Mulia 1002 Mejar Fahzilleana Emey binti Haji Ahmad Alisa Eswan, Timbalan Pegawai Turus Tarbiah Agama, Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan dari Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-188, Khas untuk Wanita Ke-25 dengan kerjasama Angkatan Bersentaja Diraja Brunei (Wanita) Sempena Hari Ulang Tahun Askar Wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-44.
Acara Munajat malam ini disertai oleh pegawai-pegawai dan anggota askar wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan yang bersiaran dari Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison. Turut serta ialah ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara. Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga serta individu yang turut hadir secara maya dari kediaman masing-masing. Turut menyerikan acara Munajat ialah Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia 1070 Kapten Noria Fatriah binti Haji Abd. Mutalif, Penolong Pegawai Turus Doktrin Agama, Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan. Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia 1628 Leftenan Siti Nur Syahidah binti Haji Suhaili, Pegawai Medan Agama, Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia 1506 Leftenan Dayangku Nur Syadiah Hafizah binti Pengiran Haji Hasan, Penolong Pegawai Turus Inspektorat Agama, Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Sejurus selesai Tazkirah, diteruskan dengan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia 1685 Leftenan Nur Khairiyah Mumtazah binti Haji Sahri, Penolong Timbalan Pegawai Turus Perisikan dan Sekuriti, Markas Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei bersama Askar Wanita Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia 1070 Kapten Noria Fatriah binti Haji Abd. Mutalif, Penolong Pegawai Turus Doktrin Agama, Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.
