Selangan, Selasa, 05 Muharram 1447 bersamaan 01 Julai 2025–Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi untuk difahami dan dihayati. Al-Quran adalah cahaya petunjuk bagi hati yang mencari kebenaran dan peringatan bagi yang mahu mengambil pelajaran. Tanggungjawab kita adalah untuk menyampaikan kefahaman ini kepada masyarakat, khususnya jemaah masjid, agar nur hidayahnya terus menyinari kehidupan.
Dalam usaha memperkasa kefahaman dan penghayatan terhadap Al-Quran, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Selangan, Daerah Temburong pagi tadi mengadakan Program Tadabbur Ayat-Ayat Syifaa Al-Quran di masjid berkenaan.
Program Tadabbur Ayat-Ayat Syifaa Al-Quran diadakan bertujuan agar para Muslimah lebih memahami maksud ayat Al-Quran melalui tafsirannya secara meluas. Di samping itu untuk memberi pengetahuan akan rahsia, mu'jizat dan tuntutan sebenar dalam Al-Quran serta mencetus rasa 'izzah terhadap Al-Quran dan menambah keimanan serta penghayatan dalam amalan berugama.
Tadabbur disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Nooraimah binti Sibuang, Pegawai Ugama SkiPPA, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Intipati Tadabbur antara lain menyeru umat Islam agar mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan memohon kesembuhan hanya kepada-Nya selain berusaha mendapatkan rawatan dan mengikuti nasihat pakar kesihatan. Yang Mulia Dr. Nooraimah seterusnya menjelaskan 'ibrah (pengajaran) daripada kisah para Anbiya' menunjukkan bahawa keimanan dan kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala perlu sentiasa diutamakan walaupun ketika menghadapi ujian penyakit yang berat.
Program dihasratkan untuk menjadi medium dalam menambah keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan membudayakan Al-Quran demi mencapai keredhaan-Nya dalam kehidupan sehari-hari.


Foto: JHEM