Lugu, Selasa, 05 Muharram 1447 bersamaan 01 Julai 2025–Penduduk Rancangan Perumahan Negara Kampung Lugu dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dijangka siap pembinaannya pada bulan Julai 2026.
Sehubungan dengan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu bagi masjid berkenaan diadakan pada pagi tadi. Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd. Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN); Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Seterusnya, acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, diikuti oleh para jemputan khas.
Tetamu-tetamu kehormat serta para jemputan berkesempatan mendengar taklimat mengenai ciri-ciri reka bentuk bangunan masjid baharu berkenaan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Aliff bin Haji Awang Madial, Pemangku Pereka Kanan, Bahagian Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien untuk memberkati majlis.
Keseluruhan kapasiti masjid baharu Kampung Lugu ini boleh menampung seramai lebih kurang dua ribu lima ratus (2,500) orang jemaah. Antara kemudahan yang disediakan di masjid ini termasuk bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, tandas serta tempat letak kereta termasuk tandas dan tempat letak kereta untuk Orang Kelainan Upaya. Bangunan masjid baharu ini dibina atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang 7.7 ekar dengan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang berjumlah BND$9.27 juta.


















Foto: SkiPPA BPAAM