Negara Brunei Darussalam, Rabu, 06 Muharram 1447 bersamaan 02 Julai 2025–Dalam usaha memperkasa kebajikan dan pemahaman agama para muallaf di negara ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah Islamiah terus beriltizam menyediakan pelbagai program bimbingan yang bersifat menyeluruh dan berperingkat. Antaranya termasuk Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta Skim Bimbingan Lanjutan I dan II.
Selain itu, Kelas Bimbingan Muallaf turut dijalankan setiap minggu di keempat-empat daerah, sebagai platform sokongan yang berterusan dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dalam kalangan muallaf.
Sehubungan dengan itu, Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dan Unit Da'wah Daerah-Daerah mengadakan Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke–109 bagi Lelaki dan Ke–110 bagi Perempuan secara serentak selama 14 hari bermula pada 23 Jun 2025 hingga 10 Julai 2025 kecuali hari Ahad.
Seramai 164 orang mengikuti skim tersebut iaitu 48 orang dari Daerah Brunei dan Muara, 47 orang dari Daerah Tutong, 45 orang dari Daerah Belait dan 24 orang dari Daerah Temburong.
Di Daerah Brunei dan Muara lokasi Skim Bimbingan tersebut diadakan di Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah. Bagi Daerah Tutong pula bertempat di Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong bagi peserta perempuan dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain bagi peserta lelaki. Manakala di Daerah Belait diadakan di Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait, dan bagi Daerah Temburong, skim tersebut diadakan di Pejabat Unit Da'wah Daerah Temburong.
Pengisian dalam Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf ini memberi pendedahan kepada ilmu asas Fardhu 'Ain dan Fardhu Kifayah iaitu Iqra', Amali, Tauhid, Fiqh Shalat mengenai Sembahyang-Sembahyang Sunat, Fiqh Munakahat, Fiqh Haji, Sejarah Islam, Tasawwuf, Teori dan Praktikal Pengurusan dan Penyempurnaan Jenazah, Sesi Kongsisama mengenai Isu Permasalahan Rumahtangga dan Teknik Penyembelihan Ternakan.
Skim ini diadakan untuk memberikan bimbingan kepada muallaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam terutama dalam bidang aqidah, ibadah dan akhlak.
Skim Bimbingan Lanjutan di Daerah Brunei dan Muara



Skim Bimbingan Lanjutan di Daerah Tutong



Skim Bimbingan Lanjutan di Daerah Belait
Skim Bimbingan Lanjutan di Daerah Belait

Foto: PDI