Bangar, Khamis, 07 Muharram 1447 bersamaan 03 Julai 2025–Bagi memupuk minat serta meningkatkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, Sekolah Arab Temburong pagi tadi menganjurkan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) dengan tema Pekerjaanku Hari Ini, Masa Depanku Akan Datang.
Bagi mencapai objektif program tersebut, pihak sekolah telah mengadakan Pertandingan Menyampaikan Berita dalam Bahasa Arab yang dibuka kepada para pelajar dan guru. Melalui pertandingan ini, dihasratkan agar para pelajar lebih berani berkomunikasi dalam Bahasa Arab di samping menghargai keindahan dan kepentingannya dalam memperkukuhkan agama serta membudayakan penggunaannya di sekolah.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis bagi acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Muhammad Hady bin Bukhari, Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Seri Kartini binti Haji Omar, Guru Besar Sekolah Arab Temburong selaku Pengerusi Majlis.
Acara diteruskan dengan tayangan video pertandingan, disusuli perasmian Program Hayya 'Ilal Arabiyyah dan lawatan ke reruai (ruang) aktiviti. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Tetamu Khas Majlis.
Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah Arab bertujuan mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab serta memupuk semangat daya saing yang sihat dalam kalangan pelajar.