Bandar Seri Begawan, Khamis, 07 Muharram 1447 bersamaan 03 Julai 2025–Seramai 30 orang pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Teknologi Maklumat, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei telah menyertai Design Thinking BootCamp pada 02 dan 03 Julai 2025 bertempat di Brunei Innovation Lab. Bengkel dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Teknologi Maklumat dengan kerjasama Brunei Innovation Lab dan Brunei Shell LiveWIRE.
Para peserta bengkel telah diberi pendedahan kepada pendekatan design thinking iaitu satu kaedah penyelesaian masalah berasaskan empati pengguna, kerjasama rentas fungsi dan penciptaan prototaip yang boleh diuji.
Bengkel ini menjadi sebahagian daripada inisiatif Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk membudayakan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan digital dengan memberi fokus kepada dua keutamaan strategik iaitu Pendigitalan Perkhidmatan Halal secara lebih cekap dan mesra pengguna dan Pemantapan Sistem Permohonan serta Aduan secara dalam talian yang responsif dan telus.
Bengkel ini membuka mata saya, kadangkala bukan apa yang kita mahu tetapi apa yang pengguna perlukan. Sebagai seseorang tanpa latar belakang IT, saya mula faham pentingnya bermula dengan empati dan mendefinisi masalah sebelum melompat kepada idea kreatif. Ini benar-benar ilmu baharu yang berharga, ujar salah seorang peserta bengkel.
Antara hasil bengkel termasuklah pembangunan idea awal untuk memodenkan sistem permohonan halal serta memperkemas saluran aduan pengguna menggunakan pendekatan digital yang lebih intuitif dan mudah diakses.
Bengkel ini diharap dapat memperkukuh keupayaan dalaman Kementerian dalam menggerakkan transformasi digital secara berfasa dan berterusan selaras dengan keperluan masyarakat dan visi digital Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Foto: BTM