Pulaie, Khamis, 07 Muharram 1447 bersamaan 03 Julai 2025-Belia Muallaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025M Siri Ke-4 bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Sesi ini bukan sekadar menjadi platform pembelajaran semata-mata, malah turut diserikan dengan perbincangan terbuka dan aktiviti interaktif yang dirangka khusus bagi memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta, terutamanya belia Muallaf. Pendekatan yang berteraskan elemen 'kebeliaan' menjadikan pengisian sesi ini lebih segar, relevan dan berupaya menambat minat golongan belia selaras dengan jiwa serta keperluan mereka.
Antara matlamat utama Siri Ke-4 Hi-Class ialah untuk memberikan penjelasan komprehensif mengenai konsep hijrah ke arah kebaikan. Program menekankan bahawa hijrah adalah satu proses, perjalanan bertahap dan konsisten, bukannya sesuatu yang berlaku secara serta-merta. Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk semangat saling menyokong antara peserta sepanjang perjalanan hijrah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi perkongsian yang disempurnakan oleh Yang Mulia Dayang Siti Hurul-Ain Diyana @ Vieana binti Haji Abdul Majid, Penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei melalui ceramah bertajuk Hijrah Itu Proses, Bukan Instant yang mana telah mendapat maklum balas positif daripada para peserta daripada sesi soal jawab
yang memberi ruang kepada peserta untuk bertanya dan berdialog secara lebih mendalam. Program diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarah dan Surah Al-'Asr serta sesi bergambar ramai.
Program seumpama ini diharap akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membimbing para Muallaf ke arah pembentukan sahsiah yang berilmu, berakhlak mulia serta mampu menjadikan nilai hijrah sebagai amalan sepanjang hayat, insya-Allah.




Foto: PDI