Tutong, Rabu, 13 Muharram 1447 bersamaan 09 Julai 2025-Sambutan Ilal Hijrah merupakan salah satu platform penting dalam menyemai nilai-nilai murni agama Islam dan memperkukuh ukhuwah serta memperteguh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam.
Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Layong, Daerah Tutong menganjurkan Ceramah Khas Sempena Ilal Hijrah 1447 bertempat di Masjid Kampung Layong khusus bagi peserta Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Tutong.
Acara ini bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada para muslimah mengenai peristiwa bersejarah hijrah Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dari Kota Mekah ke Madinah. Ianya juga menyeru para peserta untuk mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut sebagai sumber motivasi diri dalam membina kehidupan lebih baik serta menghadapi cabaran masa kini dan masa depan dengan lebih cemerlang.
Selain itu, Ceramah Khas tersebut berperanan dalam mempererat lagi hubungan silaturahim dan membina semangat persaudaraan sesama muslimah demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan sejahtera.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Diteruskan dengan Ceramah Khas disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Azman bin Haji Musa, Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Ugama Daerah Tutong. Intipati ceramah berkenaan menyentuh pelbagai aspek hijrah dan kaitannya dengan pembangunan rohani serta sosial.
Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd. Nazelley bin Noorashid, Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Layong.
Acara ini dihasrat akan dapat mencerminkan semangat hijrah sebagai asas pembentukan umat yang beriman, berilmu, dan berakhlak mulia serta menyuburkan budaya saling menyokong dalam mendepani cabaran zaman.



Foto: JHEM