Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PERPISAHAN DARIPADA PESURUHJAYA TINGGI KANADA DAN DUTA BESAR REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

09 July 2025

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PERPISAHAN DARIPADA PESURUHJAYA TINGGI KANADA DAN DUTA BESAR REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Berakas, Rabu, 13 Muharram 1447 bersamaan 09 Julai 2025-Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama petang tadi menerima Kunjungan Hormat Perpisahan daripada Puan Yang Terutama Ambra Dickie, Pesuruhjaya Tinggi Kanada dan Puan Yang Terutama Gerda Winkler, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam secara berasingan.

Majlis diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

Hadir sama di majlis Kunjungan Hormat Perpisahan ini ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Puan Yang Terutama Ambra Dickie, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 20 Oktober 2022.

Manakala Puan Yang Terutama Gerda Winkler, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 September 2020.

 

Foto: SkiPPA BPAAM