Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS HARI TERBUKA INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH SEMPENA PENGAMBILAN PELAJAR BAHARU PERINGKAT MENENGAH TAHUN 7 SESI PENGAJIAN 2026M

09 July 2025

MAJLIS HARI TERBUKA INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH SEMPENA PENGAMBILAN PELAJAR BAHARU PERINGKAT MENENGAH TAHUN 7 SESI PENGAJIAN 2026M

Bandar Seri Begawan, Rabu, 13 Muharram 1447 bersamaan 09 Julai 2025-Hari Terbuka Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan untuk memperkenalkan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada orang awam sebagai pusat pengajian Al-Quran yang berperanan melahirkan para Huffaz Al-Quran yang bukan sahaja mahir dalam hafazan ayat-ayat suci Al-Quran tetapi juga berpotensi menceburi bidang Pengajian Islam, Sains dan Teknologi.

Hari Terbuka tersebut diadakan sempena pengambilan pelajar baharu peringkat menengah Tahun 7 bagi sesi pengajian 2026M.  Hari Terbuka diadakan selama dua hari, bermula pada hari ini, Rabu dan hari Khamis, 09 dan 10 Julai 2025, dari pukul 8.15 pagi hingga 11.30 pagi bertempat di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, timbalan-timbalan pengetua institut serta jemputan khas, pengetua dan guru besar sekolah Arab, para pegawai, guru dan kakitangan serta rombongan pelajar sekolah jemputan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Mohd Shah Abdul Afandi bin Muhd Sahari.  Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Zul Husni bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Seterusnya, pelancaran Hari Terbuka bertempat di Dewan Serbaguna, Blok Asrama Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Kemudiannya, lawatan ke petak-petak pameran yang dimeriahkan lagi dengan aktiviti-aktiviti di musolla dan perpustakaan serta jualan mini bazar di perkarangan institut.

Rombongan pelajar untuk Hari Terbuka tersebut dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pagi melibatkan 251 orang pelajar dan 31 orang pengawas dari 2 buah Sekolah Arab dan 10 buah Sekolah Rendah Kerajaan serta S wasta.  Manakala, sesi petang pula dihadiri oleh 220 orang pelajar dan 22 orang pengawas dari 3 buah Sekolah Arab dan 10 buah Sekolah Rendah Kerajaan.

INFO PENGAMBILAN PELAJAR BAHARU:

Borang Tawaran Pengambilan Pelajar Baharu (Peringkat Menengah Tahun 7) Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Sesi Pengajian 1447H/2026M masih dibukakan bermula pada 09 Jun 2025 hingga 02 Ogos 2025. 

Borang Permohonan boleh diisi secara dalam talian bermula 09 Jun hingga 02 Ogos melalui pautan pendaftaranitqshhb.my.canva.site.

Bagi pemohon yang memerlukan bantuan untuk mengisi borang dalam talian, pihak Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan membantu untuk mengisi borang dalam talian.  Pemohon hendaklah hadir ke Blok Pentadbiran lnstitut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Simpang 175, Km 2, Bandar Seri Begawan.

Waktu operasi sebelah pagi sahaja iaitu pada pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari bermula 8 Julai 2025 hingga 31 Julai 2025 yang akan dibukakan Setiap Hari Selasa dan Hari Khamis dan dikehendaki membawa dokumen yang berkaitan (sila rujuk borang pendaftaran).

 

​Foto: ITQSHHB