Kasat, Khamis, 14 Muharram 1447 bersamaan 10 Julai 2025–Seramai 10 orang murid Darjah VI Sekolah Ugama Kasat yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan pada petang tadi bertempat di sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji E'rifin bin Haji Mohd Yusof, Ketua Kampung Kasat yang juga memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai. Diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan diteruskan dengan bacaan Takhtim. Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Isyraf bin Azza Azwan Ezwandy.
Seterusnya penyampaian Sijil kepada para peserta Khatam disempurnakan oleh Tetamu Kehormt Majlis dengan diiringi oleh persembahan Dikir. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin, Imam Masjid Kampung Kasat.
Majlis-majlis Khatam Al-Quran anjuran sekolah-sekolah ugama di negara ini bertujuan untuk merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan generasi celik Al-Quran di samping menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan hidup beragama. Majlis Khatam Al-Quran juga merupakan usaha murni Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam di negara ini.