Bandar Seri Begawan, Khamis, 14 Muharram 1447 bersamaan 10 Julai 2025–Seramai 163 orang saudara-saudara baru yang telah menyertai Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke-109 (Lelaki) dan Siri Ke-110 (Perempuan) menerima sijil masing-masing di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Skim Bimbingan Lanjutan Ι bagi Muallaf Siri Ke – 109 (Lelaki) dan Siri Ke- 110 (Perempuan) yang diadakan serentak di keempat-empat daerah diungkayahkan oleh Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dan Unit Da'wah di setiap daerah.
Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke-109 (Lelaki) dan Siri Ke-110 (Perempuan) telah dilaksanakan selama 14 hari, dari 23 Jun 2025 hingga 10 Julai 2025 kecuali hari Ahad. Para peserta yang menerima sijil berkenaan terdiri daripada 48 orang peserta dari Daerah Brunei dan Muara, 47 orang dari Daerah Tutong, 44 orang dari Daerah Belait, dan 24 orang dari Daerah Temburong. Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Bilik Mau'izhah, Pusat Da'wah Islamiah.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis yang sama diadakan bertempat di Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong. Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Dayang Nur Diyana binti Dato Paduka Haji Md Yussop, Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah.
Di Daerah Belait, majlis mengambil tempat di Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait. Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Awang Roslan bin Haji Sulaiman, Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah.
Manakala di Daerah Temburong pula majlis diadakan di Pejabat Unit Da'wah Daerah Temburong. Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Awang Haji Hazimin bin Haji Metali, Ketua Unit Da'wah Daerah Temburong.
Antara objektif Skim ini diadakan adalah untuk memberikan sokongan dari sudut moral, spiritual dan psikologi kepada peserta Muallaf di samping membimbing para peserta untuk lebih memahami dan menghayati ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian mereka.
Sepanjang mengikuti Skim Bimbingan Lanjutan Ι ini, para peserta telah mempelajari subjek-subjek iaitu Iqra', Tauhid, Fiqh Solat (Sembahyang-sembahyang Sunat, Sembahyang Musafir dan Sembahyang Pesakit), Fiqh Munakahat (Perkahwinan), Sejarah Islam, Tasawwuf, Amali Agama, Teori dan Praktikal Pengurusan Jenazah dari Penggapai, dan Sesi Kongsisama dari Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga mengenai Isu Permasalahan Rumahtangga. Demi menjaga dan memelihara kemaslahatan para Muallaf di Negara ini, Pusat Da'wah Islamiah menyediakan beberapa program bimbingan khusus untuk para Muallaf seperti Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (Melayu dan Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I serta Skim Bimbingan Lanjutan II. Selain itu, Kelas Bimbingan Muallaf juga turut dibukakan secara mingguan di keempat-empat daerah termasuk Program Lawatan Tarbiyah Muallaf.
Foto: PDI