Kiarong, Sabtu, 16 Muharram 1447 bersamaan 12 Julai 2025–Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun akan bermula dengan Majlis Kesyukuran yang akan diadakan pada hari Isnin, 14 Julai 2025 bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Bagi memastikan kelancaran Majlis, Jawatankuasa Kerja Acara Keugamaan membuat tinjauan persediaan bagi acara tersebut di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong petang tadi.
Hadir semasa tinjauan ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie, dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Selain tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, tumpuan bagi acara keugamaan ini juga akan diadakan di masjid-masjid di seluruh Negara iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara, masjid-masjid tumpuan ialah Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Sementara itu, di Daerah Belait, masjid tumpuan ialah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, dan Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.
Manakala bagi Daerah Tutong, masjid tumpuan ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan di Daerah Temburong, masjid tumpuan ialah Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta Kerabat Diraja akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dilanjutkan usia, sihat wal'afiat, dan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kekal karar memerintah di atas Takhta Singgahsana Kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam.
Foto: SkiPPA BPAAM