Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 17 Muharram 1447 bersamaan 12 Julai 2025–“Antara perkara yang dinyatakan dalam Al-Quran, punca keberkatan hidup adalah membayar zakat yang mana harta yang diinfaqkan akan memberikan ketenangan dalam jiwa dan membersihkan hati. Harta tidak akan habis atau berkurang kerana adanya keberkatan. Apakah erti berkat sebenarnya? Iaitu terbitnya kebaikan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam segala sesuatu seperti wujudnya air yang penuh berkat. Justeru keberkatan itu lahir dari pelbagai sudut sama ada, harta benda yang diinfaqkan atau dizakatkan, insan pilihan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, masa, tempat dan sebagainya. Oleh itu marilah kitani sama-sama ke arah meraih keberkahan hidup demi bangsa, agama dan negara."
Demikian antara intipati Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Pegawai Perkembangan Ugama, Ketua Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait bagi menyerikan acara Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-190 pada malam tadi.
Malam Munajat kali ini disemarakkan oleh Peserta-Peserta Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke-109 (Lelaki) Pusat Da'wah Islamiah dan ahli jawatankuasa takmir serta jemaah dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait dan juga beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara. Turut serta, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga serta individu secara maya dari kediaman masing-masing.
Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad Haszrin bin Bagol, Ketua Kampung Sungai Liang selaku Penasihat Bersama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait.
Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abd. Hanan Rahmani bin Dahlan, Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sejurus selesai Tazkirah, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah yang dibawakan oleh Peserta-Peserta Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke-109 (Lelaki), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd. Ikhwan bin Irwandy, Imam Tingkat III, Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.