Pulaie, Sabtu, 17 Muharram 1447 bersamaan 12 Julai 2025–Program Akademi Da'wah 5.0 terus mencetuskan semangat dengan penganjuran Perlawanan Ambuy-Du'at, sebuah acara kemuncak yang menggamit penyertaan aktif para peserta dalam suasana yang penuh semangat, kebersamaan dan nilai dakwah. Perlawanan ini bukan sekadar satu bentuk pertandingan tetapi sebuah medan untuk mengasah kepimpinan, memupuk kerja berpasukan dan menzahirkan daya kreativiti para peserta dalam menyampaikan mesej Islam secara tersirat dan tersurat. Program diadakan malam tadi bertempat di Pusat Da'wah Islamiah.
Keistimewaan malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran jemputan khas, Yang Mulia Profesor Mohd Rozan bin Haji Mohd Yunos atau lebih dikenali sebagai Prof Rozan Yunos sebagai juri bagi pertandingan tersebut. Sesi ini turut memberi peluang kepada Profesor Rozan Yunos untuk menyampaikan kata-kata motivasi dan inspirasi yang membakar semangat serta berkongsi pengalaman kepada para peserta.
Aktiviti diteruskan dengan sesi istimewa Pillow Talk, sebuah ruang santai tetapi mendalam yang membolehkan para peserta berkongsi pengalaman, meluahkan pandangan dan mencetuskan pemikiran kritikal mengenai peranan pendakwah masa kini. Ia bukan sekadar sesi berbual tetapi satu bentuk refleksi rohani yang menyentuh hati dan menyemai ukhuwah sejati dalam kalangan peserta.
Program Ambuy-Du'at ini membuktikan bahawa hiburan juga boleh menjadi platform pendidikan rohani dan intelektual, jika dilaksana dengan bijaksana dan berpaksikan nilai-nilai Islam. Ia turut mencerminkan pendekatan holistik Akademi Da'wah dalam melahirkan generasi muda Islam yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, malah memiliki akhlak yang tinggi serta kepekaan terhadap keperluan ummah dan masyarakat sekeliling.
Dengan kombinasi pengisian spiritual, intelektual dan sosial, Akademi Da'wah 5.0 sekali lagi membuktikan bahawa pendekatan dakwah kontemporari mampu menyatukan nilai tradisi dengan keperluan semasa, melahirkan para pendakwah yang bersedia memimpin, menyantuni dan memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
Program Akademi Da'wah 5.0: Perlawanan Ambuy-Du'at dikendalikan oleh Badan Sukarelawan Belia Da'ie di bawah naungan Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.





Foto: PDI