Negara Brunei Darussalam, Isnin, 18 Muharram 1447 bersamaan 14 Julai 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Negara Brunei Darussalam. Selaras dengan Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Wawasan Brunei 2035, Kementerian Hal Ehwal Ugama berusaha memastikan Perkhidmatan-perkhidmatan Ugama yang disampaikan adalah telus, relevan dan berkesan.
Bagi mencapai matlamat ini, Sesi Dialog Kementerian Hal Ehwal Ugama Bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan diadakan sebagai platform untuk bertukar pandangan, mengenal pasti cabaran dan merangka strategi penambahbaikan Perkhidmatan Ugama. Inisiatif ini juga adalah sebagai usaha pihak Kementerian dalam mendokong agenda pembangunan negara melalui perkongsian pandangan antara pihak Kerajaan dan Masyarakat di negara ini.
Sehubungan dengan itu, pagi tadi diadakan Sesi Dialog Kementerian Hal Ehwal Ugama Bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama yang juga menyampaikan Ucapan Alu-aluan.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa Kondisinya pula adalah berupa perbincangan terbuka mengenai hal ehwal Ugama. Bukan setakat kementeriannya, Kementerian Hal Ehwal Ugama – Ministry of Religious Affairs tetapi adalah mengenai perkhidmatannya yang sudah diketahui meliputi banyak bidang yang sifatnya dan coraknya keugamaan. Kami mengajak biskita berbincang, bertukar-tukar fikiran, memberi buah fikiran, menghulurkan pandangan, mengemukakan cadangan.
Seterusnya, Yang Berhormat menambah bahawa Itulah maksud dialog. Untuk kita berbincang dengan fikiran tenang, perkataan yang jelas. Kalau ada yang masih kusut, kita cuba huraikan. Kita cari solosinya (penyelesaian). Kalau solusinya lebih baik daripada apa yang telah dibuat, atau terus menerus diikuti sampai sekarang, maka in syaa Allah kami akan terima sekarang atau akan timbangkan untuk kajian dan penelitian lanjut.
Seterusnya, taklimat dipengerusikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang turut menyampaikan taklimat mengenai Perkhidmatan-perkhidmatan Ugama di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Pada penghujung Sesi Dialog diadakan sesi soal jawab.
Antara yang hadir di Sesi Dialog pagi ini termasuk Yang Berhormat Ahli-Ahli Mensyuarat Negara; para penghulu dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara; pegawai-pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pembangunan komuniti; ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid; serta pemimpin-pemimpin belia dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang sosial, dakwah dan pembangunan masyarakat.
Hadir sama pada Sesi Dialog ini ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kementerian Hal Ehwal Ugama berharap agar Sesi Dialog ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat, memperkemas penyelarasan dasar, serta meningkatkan keberkesanan Perkhidmatan Ugama di peringkat akar umbi.
Sebagai kesinambungan kepada sesi hari ini, Sesi Dialog akan diteruskan ke daerah-daerah lain iaitu Daerah Tutong, Sesi Dialog akan diadakan pada hari Rabu, 16 Julai 2025 bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. Bagi Daerah Temburong dijadualkan pada hari Selasa, 22 Julai 2025 bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong. Manakala bagi Daerah Belait, Sesi Dialog akan diadakan pada hari Sabtu, 26 Julai 2025 bertempat di Dewan Persidangan, Kuala Belait.
Sesi-sesi Dialog ini diharap akan menjadi wadah yang berkesan dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat, serta mendokong pembangunan ugama secara menyeluruh, progresif dan mampan di Negara Brunei Darussalam.
Foto: BPAAM