Bandar Seri Begawan, Ahad, 02 Safar 1447 bersamaan 27 Julai 2025–Kepimpinan raja adalah amanah besar dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Raja yang beriman, bertaqwa, berilmu, dan berjiwa rakyat adalah raja yang membawa rahmat dan aspirasi besar kepada negara. Sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam, kita hendaklah bersyukur atas nikmat pemerintahan beraja yang adil. Menyokong segala dasar kebajikan dan pembangunan. Dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Demikianlah antara intipati Tazkirah Subuh bertajuk "Kepimpinan Raja Aspirasi Negara" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa, Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' pada awal pagi tadi bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah seterusnya bacaan wirid dan kemudiannya Tazkirah Subuh.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama hadir bagi memakmurkan masjid secara istiqamah (berterusan) dalam menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah di awal waktu kerana sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara persendirian.
Program tersebut juga memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai meraih keberkatan dengan hadir ke masjid untuk menunaikan tuntutan sembahyang fardhu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang, sebelum memulakan langkah dengan keceriaan seharian.

Foto: JHEM