Kiarong, Ahad, 02 Safar 1447 bersamaan 27 Julai 2025–Majlis Kesyukuran Senegara Sempena Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha akan diadakan pada hari Isnin (malam Selasa) 04 Safar 1447H bersamaan 28 Julai 2025M bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Bagi memastikan kelancaran Majlis, Jawatankuasa Kerja Acara Keugamaan membuat tinjauan persediaan bagi acara tersebut di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong petang tadi.
Hadir semasa tinjauan ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana; dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Selain tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, tumpuan bagi acara keugamaan ini juga akan diadakan di masjid-masjid seluruh negara iaitu bagi Daerah Belait, masjid tumpuan ialah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Bagi Daerah Tutong, masjid tumpuan ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, dan di Daerah Temburong, masjid tumpuan ialah Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta Kerabat Diraja akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dilanjutkan usia, sihat wal'afiat, dan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kekal karar memerintah di atas Takhta Singgahsana Kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam.



Foto: Jabatan Penerangan