Junjongan, Khamis, 06 Safar 1447 bersamaan 31 Julai 2025–Salah satu ibadah yang wajib dalam solat adalah bacaan Surah Al-Fatihah. Oleh itu, kesempurnaan bacaan tersebut perlu dijaga, sama ada dari segi sebutan mahupun penghayatan ayat-ayatnya dalam sembahyang.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid As-Salam, Kampung Junjongan telah menganjurkan Bengkel Menghalusi Bacaan dan Kefahaman Surah Al-Fatihah yang mengambil tempat di masjid berkenaan.
Antara objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada para belia agar lebih memahami makna surah serta penghayatan terhadap ayat-ayatnya di samping untuk mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan belia masjid. Matlamat bengkel ini juga adalah untuk mendidik para belia dengan ilmu agama serta membimbing mereka menjadi insan yang seimbang, berakhlak mulia dan bersifat syumul dalam setiap aspek kehidupan.
Seramai 48 orang peserta terdiri daripada para belia masjid serta pelapis imam dan bilal masjid Kawasan Daerah Brunei dan Muara telah menghadiri bengkel yang memfokus kepada teori serta praktikal bacaan Surah Al-Fatihah.
Fasilitator bagi bengkel tersebut ialah Yang Mulia Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik Kilanas dan Yang Mulia Awang Haji Mohd. Daud bin Haji Abdul Kadir.
Diharapkan bengkel ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para peserta, bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman terhadap makna dan penghayatan bacaan Surah Al-Fatihah dalam solat, malah turut menjadi pemangkin kepada amalan ibadah yang lebih khusyuk serta memperkukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.





JHEM