Berakas, Khamis, 04 Rabiulawal 1447 bersamaan 28 Ogos 2025–Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah Ugama bukan sahaja satu amalan yang signifikan dalam sistem pendidikan Ugama di negara ini malah turut menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih murid-murid dalam mendalami dan menghayati ajaran Islam. Majlis ini juga sebagai wadah untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran di mana para pembacanya diberikan ganjaran pahala, dilimpahi rahmat serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Sehubungan itu, seramai 134 orang murid Darjah VI Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah iaitu 67 orang murid lelaki dan 67 orang murid perempuan yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, petang tadi diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Serbaguna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Airport Lama Berakas.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Wizani bin Haji Awang Ali, Pemangku Ketua Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan diikuti dengan bacaan Takhtim. Seterusnya, Doa Khatam Al-Quran dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad 'Irfan Wafiy bin Haji Mohamad Sahri.
Kemudiannya, diserikan dengan persembahan Dikir dan penyampaian sijil kepada para peserta Khatam oleh Tetamu Khas Majlis. Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Mohammad Faris Zayani bin Muhammad Firdausil Amin.
Dengan kehadiran dan sokongan para ibu bapa serta usaha berterusan pihak sekolah dan Jabatan Pengajian Islam, Majlis Khatam Al-Quran ini turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan syiar Islam di negara ini. Di samping itu, ia juga menyumbang kepada pembentukan generasi yang celik Al-Quran, beriman, beramal soleh serta bertaqwa.