Bandar Seri Begawan, Ahad, 07 Rabiulawal 1447 bersamaan 31 Ogos 2025–Seperti mana yang kita ketahui, Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Islam dan apabila kita meneliti cogan kata yang tertera pada bendera negara, ia membawa maksud sentiasa membuat kebajikan dengan hidayah. Ini membawa erti bahawa orang yang membuat kebajikan adalah insan yang memiliki akhlak yang baik, berbudi pekerti, berbudi bahasa dan berbudi bicara. Melihat kepada nama negara kita yang tertera pada pita (scroll), nama negeri: بروني دارالسلام; Brunei Darussalam, secara harfiah "Brunei, Tempat Kediaman Damai.
Demikianlah antara intipati Tazkirah Subuh bertajuk Membentuk Jati Diri Belia Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Khairul Azhar bin Haji Idris, Penolong Pensyarah, Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' pada awal pagi tadi bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan menggalakkan umat Islam memakmurkan masjid secara istiqamah, khususnya melalui Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah di awal waktu di samping memperkukuhkan amalan kerohanian, meraih keberkatan hidup dan membina masyarakat berdisplin serta berakhlak mulia.


Foto: JHEM