Bandar Seri Begawan, Khamis, 25 Rabiulawal 1447 bersamaan 18 September 2025-Ke arah menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah mengenai kepentingan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Kokurikulum pagi tadi menganjurkan Pertandingan 'Masrahiyyah Arabiyyah' (Sketsa Bahasa Arab) Kali Ke-11 bertempat di Dewan Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Pertandingan tersebut dibukakan kepada pelajar-pelajar Sanah (Tahun) 7 dan 8 dari persekolahan Arab dengan tujuan utama pertandingan adalah untuk menyuntik minat pelajar dalam bertutur menggunakan Bahasa Arab, di samping mengasah kemahiran berkomunikasi dan lakonan di kalangan mereka.
Selain itu, pertandingan ini bertujuan memperluaskan aktiviti pelajar yang berteraskan Bahasa Arab, serta meningkatkan kreativiti dan semangat kerja berpasukan. Diharapkan juga aktiviti seumpama ini dapat menjadi pendorong kepada pelajar untuk terus mencintai Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan agama.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang.