Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM ‘HUBBUL ILMI’ BAGI MURID-MURID DARJAH VI  SEKOLAH-SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IIA BAGI TAHUN 1447H / 2025M

18 September 2025

PROGRAM ‘HUBBUL ILMI’ BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH-SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IIA BAGI TAHUN 1447H / 2025M

Berakas, Khamis, 25 Rabiulawal 1447H bersamaan 18 September 2025M-Bagi melahirkan murid-murid yang cemerlang melalui pengukuhan kefahaman ilmu mata pelajaran ugama di samping memupuk semangat serta motivasi murid Darjah VI sebelum menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU), petang tadi diadakan Program Hubbul Ilmi anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IIA.

Program berbentuk pertandingan kuiz ini menyasarkan murid-murid Darjah VI sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IIA dan diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Azman bin Haji Jaya, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Abu Samah bin Haji Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IIA.  Selain pertandingan kuiz, beberapa aktiviti menarik turut diadakan dan kemudiannya penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Tetamu Khas.

Program merupakan salah satu inisiatif Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IIA dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid agar mampu berinteraksi dengan baik, berfikir secara mendalam dan teliti dalam menyelesaikan masalah, di samping memupuk sikap saling menghormati dan mengeratkan silaturrahim antara murid-murid sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IIA.​