Bandar Seri Begawan, Jumaat, 04 Rabiulakhir 1447 bersamaan 26 September 2025–Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan kini mencapai usianya yang ke 67 tahun pada tahun 2025 ini. Pelbagai aktiviti keugamaan diungkayahkan sebagai tanda kesyukuran antaranya, Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Majlis ini dikendalikan secara serentak pada pagi tadi di dua tempat berasingan iaitu bagi peserta lelaki diadakan di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan, manakala bagi peserta perempuan pula diadakan di Ruang Utama Masjid Omar 'Ali Saifuddien bersama murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan ialah Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Tahlil di Kubah Makam Diraja dipimpin oleh Yang Mulia Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Sementara di Ruang Utama Masjid Omar 'Ali Saifuddien, bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Mahirah binti Morsidi, Guru Ugama Terlatih, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis berkenaan turut diimarahkan dengan bacaan Doa Khusus bagi mendoakan kesejahteraan roh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. Doa ini merupakan tanda penghargaan atas jasa, kepimpinan, dan sumbangan besar mereka dalam pembangunan agama dan negara.
Penganjuran majlis ini juga menjadi wadah untuk menyemarakkan aktiviti kerohanian sempena Sambutan Ke-67 Tahun Masjid Omar 'Ali Saifuddien, sekali gus menegaskan peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu pengetahuan, dan penyatuan masyarakat Islam. Di samping itu, penglibatan generasi muda, khususnya murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam dalam amalan membaca Surah Yasin, Tahlil serta doa-doa, memberi peluang untuk memupuk kecintaan terhadap amalan agama dan pembentukan nilai-nilai murni sejak peringkat awal. Inisiatif ini diharap dapat menyemai rasa cinta dan hormat yang mendalam terhadap institusi masjid serta tokoh agama dan kepimpinan terdahulu, di samping memperkukuh warisan kecemerlangan yang menjadi teras kepada identiti keagamaan dan kebangsaan.
Majlis tersebut diungkayahkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien sebagai tanda penghargaan dan untuk memohon keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas limpah rahmat dan kurnia-Nya sehingga Masjid Omar 'Ali Saifuddien mencapai usia 67 tahun pada tahun 2025.




Foto: JHEM