Bandar Seri Begawan, Jumaat, 04 Rabiulakhir 1447 bersamaan 26 September 2025–Dalam usaha memperkasa peranan Belia Da'ie sebagai sebuah pertubuhan belia yang bertanggungjawab dalam melaksanakan da'wah serta prinsip Al-Amr Bil Ma'ruf Wa An-Nahyu 'Anil Munkar di Negara Brunei Darussalam, Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen pada awal pagi tadi mengadakan Program Pejuang Fajr Kali Ke-16 di Masjid Ash-Shaliheen.
Program ini bertujuan untuk menanamkan rasa kebersamaan serta mempererat silaturrahim dalam kalangan belia dan masyarakat umum, di samping menjadi medium da'wah kesedaran kepada para belia agar bangun menunaikan sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah (Pejuang Fajr) sekali gus mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Tahajjud diimamkan oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da'ie, diikuti dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen. Seterusnya bacaan Surah Al-Kahfi beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da'ie. Acara diserikan lagi dengan Tazkirah Subuh bertajuk Akhlak Rasulullah: Mencorak Generasi Beriman disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Dalam ceramah yang disampaikan, para muslimin dan muslimat diingatkan bahawa berakhirnya bulan Rabiulawal tidak bermaksud berakhirnya cinta kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Rasa cinta tersebut hendaklah berterusan sepanjang hayat sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadith bahawa iman seseorang tidak akan sempurna sehingga Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lebih dicintai daripada ibu bapa, anak-anak dan seluruh manusia. Kecintaan kepada Rasulullah dapat dibuktikan melalui amalan berselawat, mengamalkan sunnah serta mencontohi akhlak Baginda.
Ceramah turut menjelaskan bahawa pembentukan generasi beriman dapat dicapai melalui latihan kendiri, penghayatan sirah, usaha da'wah secara langsung dan tidak langsung serta pengamalan empat sifat utama Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, iaitu ṣidq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan), dan fatanah (bijaksana).
Program Pejuang Fajr Kali Ke-16 awal pagi tadi ini menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran peserta terdiri daripada jemaah Masjid Ash-Shaliheen, pegawai kerajaan, pesara, belia wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan, mahasiswa, alumni Akademi Da'wah serta orang awam.
Rakaman program ini turut dikongsikan melalui Instagram rasmi Belia Da'ie sebagai platform menyebarluaskan lagi mesej da'wah serta menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti keagamaan.











Foto: PDI