Pulaie, Ahad, 06 Rabiulakhir 1447 bersamaan 28 September 2025–Bagi meningkatkan penghayatan terhadap ajaran ugama Islam serta menzahirkan kecintaan yang mendalam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam kalangan Muallaf, Bahagian Pembangunan Muallaf (Pengupayaan Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi menghimpunkan seramai 150 orang Muallaf dalam Majlis 'Muallaf Berselawat Untukmu Rasulullah' yang diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Antara objektif penganjuran majlis ini adalah untuk mendorong saudara-saudara baru agar merebut fadilat dan kelebihan amalan berselawat serta mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam menjalani kehidupan seharian.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Hadir sama, para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah, Yang Di-Pertua Persatuan-Persatuan Saudara Baru, serta Muallaf dari seluruh daerah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Nabil Hakim bin Haji Muhammad Nabil Hafizuddin dari Persatuan Nurul Islam. Diikuti dengan Ucapan Alu-Aluan daripada Yang Mulia Dayang Nurhikmah binti Haji Idris, Pegawai Ugama yang juga selaku Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk Basmalah dan Kerisauan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid, Penolong Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah yang antara lain menjelaskan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam adalah sebaik-baik contoh ikutan. Baginda mengajarkan kita untuk memulakan setiap urusan dengan basmalah, bukan sekadar sebagai adab, tetapi sebagai tanda kasih sayang dan kerisauan terhadap umatnya. Baginda ingin umatnya sentiasa dihubungkan dengan nama Allah agar setiap langkah hidup dilindungi, diberkati, dan tidak terjerumus dalam lalai.
Pentazkirah seterusnya menyatakan Kerisauan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bukan hanya berupa perasaan, tetapi diterjemahkan melalui ajaran-ajaran yang membawa kebaikan dunia dan akhirat. Mengajarkan basmalah kepada umat adalah salah satu bukti bahawa Baginda sangat peduli agar sekecil-kecil amalan pun tidak kosong daripada ingatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sebagai umat, meneladani Baginda bukan hanya dengan mengamalkan basmalah pada permulaan pekerjaan, tetapi juga dengan menyemai rasa peduli terhadap sesama manusia juga menginginkan kebaikan untuk mereka sebagaimana Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam menginginkan kebaikan untuk kita semua.
Majlis ini turut disemarakkan dengan alunan Selawat Jibril oleh gabungan ahli-ahli Persatuan Saudara-Saudara Baru dari seluruh negara. Sejurus selepas itu, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam sebanyak tiga kali dikumandangkan. Majlis diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Muhaimin bin Zulkifli dari Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Temburong.







Foto: PDI