Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM “TALIAN KASIH: MASJID-MASJID SEBORNEO”

30 September 2025

PROGRAM “TALIAN KASIH: MASJID-MASJID SEBORNEO”

Sungai Akar, Selasa, 08 Rabiulakhir 1447 bersamaan 30 September 2025–Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah semata-mata, malah turut memainkan peranan penting sebagai pusat pembangunan ummah. Seiring dengan fungsinya yang holistik, masjid menjadi wadah utama dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah, menyemai nilai-nilai murni, serta membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia.

Bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara masjid di dalam dan luar negara, khususnya di rantau Borneo, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah telah menganjurkan program “Talian Kasih: Masjid-Masjid Seborneo".

Inisiatif ini melibatkan penyertaan Ahli Jawatankuasa Takmir serta pegawai-pegawai masjid dari Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak, Malaysia. Program ini dilaksanakan secara dwibulanan melalui persidangan video dalam talian.

Program tersebut mula dilaksanakan pada bulan Februari lalu di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kemudian di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada bulan April, dan seterusnya di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis, Madang pada bulan Julai.

Bagi edisi kali ini, program diadakan di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar. Hadir ke sesi Talian Kasih tersebut ialah Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Turut hadir, Yang Mulia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Mulia Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Azmansham bin Pengiran Haji Mohamad, Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Mulia Tuan Tazudin Mohtar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Islamic Information Centre; Yang Mulia Tuan Mohideen Abdul Kader, Pengerusi Masjid India, Kuching; Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah serta wakil-wakil masjid dari Sarawak.

Objektif utama program ini ialah untuk mengeratkan silaturrahim dan membina sokongan berterusan antara masjid-masjid serantau. Selain itu, ia bertujuan memupuk hubungan kukuh agar dapat saling memanfaatkan kerjasama dan membuka ruang kepada pelaksanaan usaha dan projek bersama pada masa akan datang. Program ini juga menjadi platform bagi perkongsian maklumat dan ilmu secara berkala.

Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha mempromosikan Pelancongan Islam (Islamic Tourism) bersama negara-negara di rantau Seborneo. Pada masa yang sama, ia menjadi wadah wacana ilmiah yang merapatkan hubungan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara jemputan.

 

​Foto: JHEM​