Johor Baharu, Malaysia, Selasa, 09 Rabiulakhir 1447 bersamaan 30 September 2025–Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, bersama Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, telah menghadiri Majlis Perasmian 100 Tahun Penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Multaqa Ulama' Darul Takzim Kali Ke-9 Tahun 2025M / 1447H yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Dewan Persada Johor Bahru, Malaysia. Turut hadir ialah Yang Mulia Mohd Aizul Hakim bin Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia.
Kehadiran delegasi Negara Brunei Darussalam adalah atas undangan khas daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor dan bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala serta menjalin kerjasama strategik dalam bidang hal ehwal Islam, khususnya antara Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Majlis bersejarah ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi memperingati satu abad penubuhannya serta peranannya dalam memartabatkan institusi Islam di negeri tersebut. Majlis turut dimuliakan dengan Keberangkatan Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-haj ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor selaku wakil rasmi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, serta beberapa kerabat diraja Johor yang lain.
Sebagai acara pendahuluan, forum Multaqa Ulama' Johor Darul Takzim telah diadakan dengan tajuk Orang Muda Johor Prihatin - Akidah, Sejarah Islam dan Ekonomi. Forum ini menampilkan panel-panel ilmuan dan tokoh Islam yang membincangkan cabaran dan peluang dalam memupuk kesedaran akidah dan pembangunan ekonomi dalam kalangan generasi muda Johor. Ucapan utama forum disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr. Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, dan diakhiri dengan penyerahan Resolusi Multaqa Ulama' sebagai rumusan saranan.
Kehadiran delegasi Negara Brunei Darussalam dalam majlis ini mencerminkan komitmen berterusan dalam usaha menjalin hubungan silaturahim serantau dan pertukaran amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal Islam. Ia juga merupakan landasan penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik di peringkat institusi agama antara Brunei Darussalam dan Negeri Johor Darul Takzim.



