Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM KELUARGA BAHAGIA, HARTA PALING BERHARGA BAGI KELAS BIMBINGAN MUSLIMAH SENEGARA

01 October 2025

PROGRAM KELUARGA BAHAGIA, HARTA PALING BERHARGA BAGI KELAS BIMBINGAN MUSLIMAH SENEGARA

Kiarong, Rabu, 09 Rabiulakhir 1447 bersamaan 01 Oktober 2025–Sebagai usaha menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Keluarga 2023–2027 melalui Jawatankuasa Kerja Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, telah menganjurkan sebuah ceramah khas yang memfokuskan kepada panduan membentuk keluarga bahagia.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang pentingnya membina keluarga yang sejahtera. Ia juga berfungsi sebagai panduan membimbing keluarga dengan pendekatan yang tepat dan relevan mengikut peredaran zaman, termasuk dalam aspek komunikasi dan disiplin.

Ceramah bertajuk Keluarga Bahagia, Harta Paling Berharga ini disasarkan kepada peserta kelas bimbingan Muslimah dari seluruh negara. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan ceramah utama oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah. Program diteruskan dengan bacaan doa dan zikir secara beramai-ramai, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, program ini turut menekankan peranan ibu bapa sebagai pembimbing, penasihat, dan pendorong dalam membentuk sahsiah anak-anak serta memperkukuh institusi keluarga. Ia juga menggalakkan amalan berdoa dan berzikir sebagai usaha memperoleh keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Diharapkan program ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa institusi keluarga, selaras dengan matlamat Pelan Tindakan Keluarga 2023–2027 dan aspirasi negara ke arah kesejahteraan ummah.

 

​Foto: JHEM